You are currently viewing Hargai Ibu Bapa Kita

Hargai Ibu Bapa Kita

Orang-orang tua merupakan insan yang sepatutnya dijaga   dan dihormati. Tanpa mereka siapalah kita. Merekalah ibubapa yang mendidik dan mengasuh kita serta memberi nasihat dan mengenalkan kita perihal kehidupan didunia ini. Semasa kita masih kecil, merekalah yang menjadi pelindung kita dan sekarang tibalah masanya untuk kita membalas jasa mereka pula. Saya merasa kasihan melihat orang-orang tua yang berkunjung ke klinik sewaktu sakit tanpa ditemani anak-anak.Ikutilah kisah ini agar kita mendapat iktibar dan panduan daripadanya.

[av_gallery ids=’218′ style=’thumbnails’ preview_size=’portfolio’ crop_big_preview_thumbnail=’avia-gallery-big-crop-thumb’ thumb_size=’portfolio’ columns=’1′ imagelink=’lightbox’ lazyload=’deactivate_avia_lazyload’ admin_preview_bg=”]

Makcik Kalsom merupakan seorang pesakit yang akan saya kenang sepanjang hayat. Sebulan sekali di akan berkunjung  ke klinik saya. Makcik kalsom lemah-lembut dan sering tersenyum. Saya senang meluangkan masa mendengar kisahnya dan beliau sering mengajarkan saya pelbagai petua awet muda dan pelbagai lagi ilmu orang lama. Bicaranya amat menghiburkan hati saya.

Saya belajar dari Makcik Kalsom bagaimana memasak masak lemak cili padi yang istimewa. Dari Makcik Kalsom juga saya mendapat petua bagaimana memilih ikan yang segar di pasar dan ternyata teknik tersebut berkesan dan  saya masih gunakan hingga ke hari ini.

Pertama kali dia berkunjung ke klinik saya adalah kerana dia terjatuh di rumahnya. Seorang jirannya yang prihatin membawa beliau ke klinik selepas kasihan melihatnya berjalan terhencot-hencot. Pergelangan kakinya bengkak. Beliau juga mendapat tekanan darah tinggi yang teruk. Dan besar kemungkinan beliau menghidap stroke kerana sebelah kiri tubuhnya lemah dan tidak bermaya.

Apabila darah tinggi terjadi, maka salur-salur darah yang halus pada otak kita tidak mampu menahan tekanan itu. Salur darah yang rapuh akan pecah dan sel-sel otak yang berfungsi mengawal pergerakan tubuh badan kita akan turut mati dan rosak. Anggota tubuh yang terlibat akan menjadi lumpuh atau lemah.

Kini, telah hampir setahun berlalu. Dan dia juga pun hampir pulih. Jalannya juga semakin laju sekarang dan setiap bulan dia akan datang untuk menjalani pemeriksaan bersama seorang wanita bernama  Puan Yati. Saya kagum dengan Makcik Kalsom yang bersemangat tinggi dan tidak jemu-jemu membuat segala latihan fisioterapi yang saya sarankan kepadanya. Sebab itulah beliau cepat sembuh. Dia juga rajin makan ubat dan berpantang.

“Doc”, Panggil Puan Yati kepada saya, pada suatu hari. “Makcik Kalsom ni asyik menangis je sekarang. Dia terkenangkan anak-anaknya. Cubalah doc, tolong nasihatkan dia.”. Beritahu Puan Yati. “Dia ada anak lain ke? Habis Yati ni bukan anak dia ke?” Saya bertanya ingin tahu. “Saya ni cuma jiran saja Doc. Anaknya ada tiga orang. Kesemuannya berpangkat besar dan tinggal di Kuala Lumpur. Mereka semua sibuk dan jarang dapat berjumpa mak mereka. Kalau tak silap anak yang sulung tu majistret besar, yang kedua pula cikgu manakala yang bongsu tu buat bisnes sendiri” Terang Puan Yati panjang lebar. Saya bermonolog sendiri. Fenomena anak-anak tiada masa untuk menjaga ibubapa adalah fenomena yang kerap kali melanda masyarakat kita. Dunia sekarang, dimana kita sibuk mencari pulangan material semata-mata maka kebajikan ibubapa sudah diabaikan.

Mujurlah Puan Yati sebagai jiran terdekat mengambil berat terhadapnya. ”Makcik Kalsom ni baik orangnya, Doc. Dia amat sayangkan anak-anak. Anak-anak saya pun dianggapnya macam cucunya sendiri. Sebab itulah kami bagaikan satu keluarga .”

Hari itu buat pertama kalinya saya mendapat tahu bahawa Puan Yati tiada pertalian darah dengan Makcik Kalsom dan saya harus mencari jalan agar anak-anak Makcik Kalsom datang menjenguk ibunya yang kerinduan. Adakalanya saya terpaksa menjadi jaksa pendamai buat pesakit saya dan saya rela meskipun saya akan dianggap cuba menjaga tepi kain orang lain. Saya mendapatkan nombor taelefon anak-anaknya dan mengaturkan pertemuan. Pisang setandan, tak akan sama semua buahnya. Begitulah juga dengan anak-anak beliau. Anak yang pertama agak ramah dan mesra. Beliau bersikap terbuka semasa berbincang, manakala yang kedua pula bersikap bersahaja dan lebih menyalahkan ibunya. “Doctor, tak tahu. Mak I tu degil. I ajak dia pindah dok dengan I tapi dia tak nak” Manakala anak yang ketiga pula lebih banyak melayan telefonnya daripada mengikuti perbualan kami. Akhirnya kami mencapai kata sepakat. Seminggu sekali mereka berjanji akan bergilir-gilir menjenguk ibunya. Bermakna dalam sebulan setiap dari mereka akan datang melawat ibunya. Saya turut menceritakan kepada mereka berkaitan Puan Yati, jiran yang berhati mulia. Dan saya harap mereka dapat menghargai Puan Yati seadanya.

Bulan-bulan yang seterusnya, saya melihat perubahan yang baik pada Makcik Kalsom. Senyumannya semakin lebar dan keceriaan jelas terbayang di wajahnya. Pernah beliau datang ke klinik saya dibawa oleh anaknya. Pada masa itu saya dapat melihat kebanggaan yang terpancar di wajahnya.

Ternyata tindakan saya mengadakan mesyuarat dengan ketiga-tiga anaknya membuahkan hasil. Adakalanya kita tidak perasan bahawa orang tua kita amat merindukan kemesraan dari kita. Mereka tidak mahu tinggal bersama kita kerana mereka tidak mahu menyusahkan kita, namun mereka tetap memerlukan kasih sayang dan keperihatinan kita. Sebulan sekali luangkanlah masa melawat mereka agar mereka merasa dihargai. Begitulah juga anak-anak Makcik Kalsom ini. Mereka tidak perasan bahawa ibu mereka sering kesunyian lantaran kehidupan mereka yang sibuk setiap hari. Apabila diberitahu kesihatan ibu mereka, barulah mereka tersedar. Kini Makcik Kalsom telah pun pergi menyahut seruan ilahi. Saya amat merindui senyumannya. Begitu juga Puan Yati, yang pasti bergenang air mata setiap kali menyebut nama Makcik Kalsom. Saya yakin anak-anaknya lebih merasai pemergian ibu mereka. Itulah wanita yang membesarkan mereka dan membawa mereka mengenali dunia. Saya menyeru kepada kita semua agar menghargai ibubapa kita, sebelum mereka tiada.

Leave a Reply