Setelah 15 tahun melayari kerjaya sebagai seorang doktor pelbagai kisah dan pengalaman pahit manis telah saya tempuhi . Bak pepatah orang tua “Yang elok dijadikan taulan yang buruk jadikan sempadan”,lantas hati saya terdetik untuk berkongsi ilmu dan pengalaman ini dengan tuan puan sekalian. Harapan saya agar secebis pengalaman ini dapat dijadikan bahan renungan agar kehidupan kita lebih berwarna-warni dengan ilmu yang berguna.
[av_gallery ids=’237′ style=’thumbnails’ preview_size=’portfolio’ crop_big_preview_thumbnail=’avia-gallery-big-crop-thumb’ thumb_size=’portfolio’ columns=’1′ imagelink=’lightbox’ lazyload=’deactivate_avia_lazyload’ admin_preview_bg=”]
Sebagai seorang doktor perubatan dan pakar kecantikan aestetik, tugas saya tidak terhad setakat memberi rawatan sahaja. Saya turut terlibat secara langsung dalam memberi kaunseling kepada mereka yang berkunjung ke klinik. Antara pelanggan lama saya ialah Puan Aina. Sudah lebih 10 tahun saya mengenali beliau. Setiap tahun Puan Aina datang untuk menjalani pemeriksaan “antenatal checkup” (pemerikasaan bulanan ibu mengandung). Sukar untuk dipercayai tetapi menurut rekod yang saya simpan di klinik itulah kenyataannya. Ini bermakna salama 10 tahun berturut-turut beliau hamil. Setahu saya Puan Aina sudah pun mempunyai 4 orang anak semasa perkenalan kami yang pertama. Ini bermakna dia sudah pun mempunyai 13 orang anak dan jika termasuk kandungan yang terbaru ini bakal menjadi 14.
Sebagai seorang doktor, tugas saya bukan setakat membuat pemeriksaan sahaja tetapi saya bertanggungjawab membuat penilaian tahap kesihatannya. Dan oleh kerana dia kerap mengandung, setiap kali selepas dia bersalin saya akan bertanya khabar dan mengajak beliau datang ke klinik bagi sesi kaunselling dan perancangan keluarga.
Namun setiap ajakan saya di tolak dengan alasan tiada restu dari suami. Namun begitu saya tidak berputus asa. Saya akan menelefon dan memujuk beliau untuk berjumpa. Saya sangat bimbang akan keadaan kesihatannya.
“Mungkin beliau belum faham lagi komplikasi dan masalah yang akan di hadapi apabila mengandung melebihi 6 kali” kata hati saya. Saya berazam akan mencuba sedaya upaya menasihatinya agar dia terselamat dari masalah-masalah kesihatan yang melanda multigravida sepertinya.
Saya juga kesal dengan sikap suami beliau yang memandang remeh perihal kesihatan isterinya. Meskipun banyak harta dan memiliki perniagaan yang berjaya, tidak seharusnya seorang isteri itu di anggap sebagai kilang untuk menghasilkan anak sahaja. Seorang isteri yang taat setia pasti tidak sanggup melanggar kata suami. Apatah lagi seorang suami yang bertanggungjawab menjaga nafkah dan makan minum seisi keluarga. Suami seperti ini memang patut disanjung dan di taati. Tapi seorang suami yang bertanggung jawab, sepatutnya bukan sahaja prihatin mengenai isu nafkah zahir dan batin,tetapi dia juga perlu menanam rasa ‘empathy’ kepada isteri yang berkorban demi kebahagiaan keluarga.
Melihatkan Puan Aina, hati saya di buru kebimbangan. Saya berasa risau dengan tahap kesihatannya. Kulitnya pucat ,conjunctiva matanya juga pucat. Ini menunjukkan beliau mengidap masalah anemia, iaitu kekurangan darah. Bagi multigravida, banyak risiko yang mungkin di hadapi semasa hamil. Antaranya ialah seperti placenta previa (uri rendah yang boleh mencetuskan perdarahan).
Ia besar kemungkinan terjadi oleh kerana mengandung terlalu kerap, uri cenderung untuk melekat dibahagian bawah rahim. Uri seperti ini akan membuatkan pintu rahim tersekat dan kepala bayi yang menekan ke bawah tidak dapat melaluinya. Ini menjadikan kelahiran berisiko tinggi.
Darah tinggi atau eclampsia (darah tinggi yang teruk semasa hamil) sering menyerang multigravida. Hal ini mungkin disebabkan faktor hormon yang tak seimbang. Saya dapati golongan multigravida cenderung di serang sawan jika darah tinggi tidak ditangani segera. Semasa memeriksa Puan Aina jelaslah tekanan darahnya sudah meningkat menjadi 140/92. Ternyata beliau sudah di serang darah tinggi .
Masalah lain yang saya risaukan ialah perdarahan selepas bersalin. Ramai multigravida mendapat masalah rahim sukar mengecut selepas bersalin. Apabila rahim sukar mengecut maka berlaku perdarahan teruk. Saya membincangkan isu ini dengan beliau.
Puan Aina perlu diberi perhatian yang lebih rapi. Besar kemungkinan saya terpaksa merujuknya ke hospital segera bagi pemeriksaan yang lebih rapi.
Pada pagi ini Puan Aina datang ke klinik bagi pemeriksaan bulanan. Meskipun keletihan beliau tetap tersenyum mesra. “Macam mana keadaan anak-anak yang lain?” saya bertanya. Seperti biasa saya mengambil peluang untuk bertanya khabar perihal anak-anaknya yang masih kecil. Kadangkala ibu mereka terlampau sibuk sehingga tidak sempat meluangkan masa untuk membuat pemeriksaan bayi di klinik. Dengan bertanya khabar, saya dapat juga sedikit maklumat mengenai mereka.
“Yang kecil berusia 6 bulan tu saya belum buat suntikan imunisasi. Kakaknya yang dua tahun tu asyik cirit-biritla Doktor, risau saya di buatnya.” Dia mula membuka cerita.
“Tak apa lambat sikit, tapi janganlah tunggu terlalu lama. Suntikan imunisasi mencegah terjadinya penyakit merbahaya terhadap bayi. Bawalah ke klinik secepat mungkin.”syor saya. “Yang cirit-birit tu ada demam tak?”tanya saya lagi. “Demam tak ada, tetapi setiap kali minum susu dia akan muntah dan cirit-birit.” katanya
“Mungkin dia alah pada susu lembu.” Saya meneka. “Cuba gantikan dengan susu soya. Nanti saya berikan sampel. Cuba test dulu, kalau sesuai bolehlah belikan susu soya” ujar saya lagi.
Saya memandang Puan Aina dengan perasaan kagum dan simpati yang silih ganti. Saya kagum dengan kekuatan mental dan fizikalnya yang mampu bertahan untuk mendapat anak-anak yang ramai, namun saya simpati melihat keadaannya yang pucat lesi.
“Aina, dah tiba masanya Aina merancang keluarga”. Saya mencuba buat sekian kalinya untuk menasihati beliau. Sejak kandungan ke 6 lagi saya cuba memujuk beliau agar menggunakan ubat perancang keluarga, namun ada sahaja alasannya. “Doktor bukan tak tahu suami Aina macam mana. Dia pantang dengar saya nak makan ubat. Dia akan marah.”katanya perlahan.
“Keputusan tetap di tangan Aina. Ini soal kesihatan Aina. Suami Aina hanya boleh memandang tapi Aina yang menanggungnya.” Kata saya lagi. Saya benar-benar kasihan dengannya. Bayangkanlah selama 14 tahun hanya mengandung dan bersalin. Hidupnya bertemankan kain basah dan lampin sahaja.
Apa yang saya kuatiri benar-benar terjadi. Selepas membuat ujian, saya dapati paras hemoglobin darahnya hanya 6g sahaja. Paras ini terlalu rendah sehinggakan beliau terpaksa dimasukkan ke hospital bagi pemindahan darah. Bayi dalam kandungan pula amat kecil berpunca daripada kesihatan ibunya yang merosot. Akhirnya beliau keguguran dan mengalami perdarahan yang serius. Kemudiannya saya dimaklumkan oleh suaminya, bahawa pihak hospital terpaksa membuang rahimnya disebabkan oleh perdarahan serius yang berlaku. Pembedahan sebegini dibuat semata-mata bagi menyelamatkan nyawanya.
Saya berjumpa Puan Aina setahun selepas peristiwa malang itu. Beliau kelihatan lebih cergas dan ceria. Beliau memberitahu saya kisah yang berlaku ke atas dirinya dan mengucapkan terima kasih ke atas keprihatinan saya terhadapnya. Bagi saya ini adalah peristiwa malang lagi menyedihkan.
Saya gagal menjadi seorang kaunselor yang baik. Saya gagal meyakinkan Puan Aina dan suaminya perihal kepentingan merancang keluarga. Kerana itulah kisah ini saya paparkan agar menjadi contoh tauladan buat ibu-ibu yang lain. Masih ada lagi di kalangan kita yang kurang pengetahuan mengenai kaedah perancangan keluarga dan memandang negatif terhadapnya. Ubat-ubat yang di gunakan adalah selamat dan berkesan.
Jenis jenis ubat adalah seperti ini
- Ubat yang di makan setiap hari mengikut kitaran haid kita
- Ubat yang boleh di ambil dalam masa 72 jam selepas hubungan sex
- Ubat yang boleh di ambil secara suntikan setiap 3 bulan sekali
- Implanon yang di masukkan di bawah lengan 2 atau 3 tahun sekali
- Iucd iaitu memakai alat di dalam rahim di tukar 3 to 5 tahun sekali
- Bilateral tubal ligation (Mengikat tiub fallopian)