Soal Jawab Bersama Dr RushminiCategory: JeragatMuka naik tompok hitam yang hodoh
Zakiah asked 11 months ago

Hi doc,

Sejak kebelakangan ni muka saya mula dinaiki tompok-tompok hitam. Awalnya saya tidak mengendahkan perkara tersebut, tapi lama kelamaan tompok hitam tersebut semakin jelas dan menyebabkan wajah saya menjadi kusam. Saya seorang site manager dan selalu terdedah pada sinaran matahari. Saya ada menggunakan sunblock bagi melindungi kulit, namun keadaan tetap sama dan tak berubah. Tompok-tompok hitam makin bertambah menyebabkan seri wajah saya hilang. Apa yang harus saya lakukan doc? Saya makin keliru dan risau dengan keadaan wajah saya ni..

– Zakiah, 48 (Klang)

1 Answers
drrushadmin Staff answered 11 months ago

Hai Puan Zakiah,

Melasma atau tompok hitam adalah sel-sel hidup yang membiak secara aktif. Ia mempunyai jalinan kapilari darah yang memberi nutrisi dan menghidupkannya. Jalinan kapilari darah ini membekalkan sel-sel melasma dengan oksigen dan zat yang diperlukan untuk hidup dengan aktif. Jadi adalah sukar untuk mengurangkan keaktifannya sekiranya kapilari darah ini membesar dengan aktif juga. Oleh kerana ia berada di lapisan dermal iaitu lapisan kulit yang ke bawah maka masalah tersebut memang sukar untuk dirawat.

Apabila menyapu krim, krim hanya boleh meresap di permukaan atas dan tidak sampai ke lapisan bawah kulit. Melasma lebih aktif apabila seseorang bawah pancaran matahari. Sel-sel aktif yang mengeluarkan pigmen hitam dinamakan melanocytes. Fungsi utama melanocytes adalah untuk mengeluarkan pigmen yang dinamakan melanin. Kehadiran melanin memberi warna kulit. Melanin juga bertindak sebagai penapis menghalang cahaya yang terlalu kuat yang boleh merosakkan kulit daripada masuk menembusi kulit kita. Rawatan yang sesuai bagi melasma ialah penggunaan krim mengandungi anti melanin.

Namun penggunaan krim yang salah hanya akan menyebabkan melasma semakin ketara kerana sesetengah krim akan merangsang salur darah menjadi lebih aktif dan kulit menjadi lebih nipis menyebabkan melasma menjadi ketara. Penggunaan laser bagi melasma harus dibuat dengan berhati hati kerana melasma memberi reaksi yang pelbagai apabila menggunakan laser. Sesetengah melasma menjadi lebih aktif apabila terkena laser manakala sesetengahnya pula boleh berkurangan. Oleh itu rawatan melasma haruslah sejajar dengan keputusan yang diperoleh.

Penggunaan hormon juga penting kerana faktor kekurangan hormon turut menjejaskan dan membuatkan melasma menjadi aktif. Hormon yang dicadangkan ialah bioidentikal hormon yang mudah digunakan dan memberi kesan yang menyegarkan tubuh kita. Tempoh rawatan bagi melasma sangat lama dan ada kalanya memakan masa berbulan bagi mendapat kesan yang baik. Setelah itu penggunaan krim anti melanocyte secara berkala adalah sangat penting bagi mengawal pertumbuhannya.

Boleh dikatakan proses merawat melasma merupakan satu perjuangan seumur hidup juga. Ia menuntut disiplin dan kesabaran yang sangat tinggi. Selain itu, rawatan laser juga boleh dilakukan bagi merawat keadaan ini. Laser bertindak memecahkan melanin. Apabila melanin pecah ia akan dibuang sebagai bahan buangan dan di keluarkan daripada kulit kita.