Kak Nafisah yang berusia 55 tahun datang dari Muar semata-mata mahu berjumpa saya. Menurut beliau sejak usianya meningkat, dia mula mengalami gejala yang aneh. Dengan tidak semena-mena sikap beliau yang periang bertukar menjadi murung. Hatinya sering merasa sepi dan resah. Dia berasa bagaikan ada saja yang tidak kena, padahal semuanya baik-baik saja. Apabila tekanan perasaan bersarang di hatinya, beliau suka bersendirian, duduk seorang diri dan mengelak untuk bertemu dengan sesiapa pun. Minatnya terhadap masakan juga turut padam. Dulu, beliau gemar mengikuti kelas masakan bersama kawan-kawannya namun kini setiap ajakan di tolak dengan baik. Apabila berada dalam kalangan orang ramai beliau berasa kurang selesa. Inilah sebabnya beliau menolak untuk bertemu sesiapa pun.